Majlis dikir semarak Maulud Nabi

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Bagi menyemarakkan malam-malam memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) telah mengadakan Majlis Dikir Maulid secara maya menerusi aplikasi Zoom, kelmarin.

Majlis disertai oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berserta lebih 90 orang peserta dari beberapa buah kampung.

Majlis dimulakan, bacaan Sayyidul Istighfar bagi memohon keampunan atas kesalahan dan kesilapan lalu dan diikuti dengan Surah Al-Fatihah dan Selawat Tafrijiyah untuk memohon terhindar daripada bala dan segala penyakit yang mana telah dipimpin oleh Ketua Imam MRSB, Haji Abdul Razak bin Haji Samad sebelum diteruskan dengan Dikir Syarafil Anam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amer Hisyam bin Haji Masri. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam bagi memohon perlindungan supaya raja, rakyat dan tanah air dilindungi daripada wabak COVID-19 yang dipimpin oleh Haji Zul Azmi bin Haji Zaini.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut serta dalam Majlis Dikir Maulid yang diadakan secara maya, baru-baru ini.- Gambar serahan Jawatankuasa MRSB