Majlis dikir semarakkan maulidur rasul

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Bersempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan terus bergema dengan Dikir Maulud selama 12 malam berturut-turut.

Pelbagai pihak di negara ini tidak ketinggalan untuk memeriahkan malam tersebut dengan mengadakan majlis dikir di beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat.

Di Daerah Belait, rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Kampung Sungai Teraban, di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Di Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di
bawahnya telah mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam bertempat di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

Hadir bagi sama-sama menyemarakkan majlis tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para pengarah, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Manakala itu, turut mengadakan majlis seumpamanya ialah Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya di Masjid Universiti Brunei Darussalam.

Hadir mengetuai rombongan berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, dan pegawai-pegawai kanan serta kakitangan kementerian.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika menghadiri majlis dikir di Masjid Kampung Sungai Teraban.
Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan rombongan ketika mengadakan majlis maulud di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah. – Gambar oleh Infofoto
Yang Berhormat Menteri Pembangunan bersama rombongan pada majlis dikir di Masjid Universiti Brunei Darussalam.