Majlis Dikir, Tausyeh sempena Maulud Nabi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Kumpulan Belia Masjid Kampung Pelambayan telah mengadakan Majlis Dikir dan Tausyeh Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Tahun 1443H/2021M sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.

Acara tersebut diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom yang dihadiri oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku tetamu khas.

Majlis bertujuan untuk memupuk semangat cintakan Rasulullah SAW dan menyemarakkan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kumpulan belia dan beliawanis masjid senegara.

Ia juga dihasratkan untuk melatih dan mendekatkan para belia khasnya dengan memperbanyakkan berzikir dan berselawat sekali gus membimbing para belia dalam sama-sama mengikuti aktiviti masjid.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas dan diikuti dengan Dikir Assalamualaika dan Dikir Bishahrin sebelum diserikan dengan tausyeh dan diikuti dengan laungan Dikir Asyrakal.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta doa terhindar daripada wabak COVID-19.

Haji Amir Hisham semasa menyertai majlis dikir dan tauyseh sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW. – Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Ugama