Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Seramai 584 orang bakal graduan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah diraikan pada majlis Doa Kesyukuran bersempena Majlis Konvokesyen IBTE ke-29 yang bakal menjelang, hari ini.
Majlis yang berlangsung dalam talian itu dihadiri oleh Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli selaku tetamu kehormat yang turut memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Majlis dimulakan bacaan surah pilihan iaitu Surah Al-Mulk yang dipimpin oleh Awang Muhammad Qamarul Hamizan bin Minor Absah yang merupakan pelajar HNTec in Information Technology, School of ICT, IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Seria.
Kemudian, majlis diteruskan dengan laungan Dikir Marhaban oleh guru-guru agama lelaki dari kampus-kampus IBTE yang diketuai oleh Awang Shaifulbahri bin Haji Ahmad dan Haji Japar bin Haji Mohd Yusof.
Bacaan Doa Kesyukuran pula dipimpin oleh pelajar Ntec in Crop and Livestock Production, Sekolah Agroteknologi, IBTE Kampus Agroteknologi, Awang Muhammad Alimin bin Haji Mahli sekali gus mengakhiri majlis tersebut.