Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Hajat

Oleh Lenna N.B.

 

Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, nampaknya masih segar disemarakkan. Walaupun tarikh sejarah 5 Oktober telah berlalu, namun peristiwa penting pada hari itu, tidak akan dapat dilupakan. Semangat Sambutan Jubli Emas masih hangat dirasakan oleh seluruh rakyat dan penduduk di bumi Brunei Darussalam.

Doa Buat Pemimpin

Baru-baru ini, Sekolah Ugama Lumapas dan Persatuan Belia Lumapas (PERLU), telah menganjurkan bersama Majlis Doa Kesyukuran sempena Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

Di samping menjadi acara bagi meraikan hari bersejarah itu, Majlis Doa Kesyukuran itu turut diadakan untuk memohon keberkatan agar Negara Brunei Darussalam sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala, serta mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan dalam menyahut Titah Baginda Sultan bersama-sama mencapai wawasan dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah ‘Negara Zikir’.

Hadir selaku tetamu khas ialah Hajah Noorsiah binti Haji Mohd Noor, selaku Pegawai Pengajian Islam kawasan Brunei IV.

Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Hajat sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta dan persiapan murid-murid untuk menghadapi Peperiksaan Sijil Sekolah Rendah Ugama Darjah 6 yang dianjurkan bersama Sekolah Ugama Lumapas dan Persatuan PERLU baru-baru ini.
Yang Dipertua Persatuan Belia Lumapas (PERLU), Pengiran Haji Hanafi bin Pengiran Haji Ahmad ketika menyampaikan cenderamata kepada Pegawai Pengajian Islam, Daerah Kawasan Brunei IV, Jabatan Pengajian Islam, Hajah Noorsiah selaku tetamu khas majlis.

Kira-kira 130 orang hadir pada majlis itu yang terdiri daripada pelajar-pelajar, guru-guru, ahli-ahli jawatankuasa acara, para ibu bapa, penduduk kampung dan ahli-ahli PERLU.

Antara yang hadir adalah Penghulu Mukim Lumapas, Haji Bakar bin Mansor, Ketua Kampung Lumapas A, Haji Mohd Yassin bin Haji Hassan, Ketua Kampung Lumapas B, Haji Chuchu bin Haji Serudin dan Orang Kaya Kesuma Haji Mohd Yunos bin Haji Kamis, serta beberapa pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam.

Doa untuk murid-murid

Majlis kemudian diselajurkan dengan Solat Hajat untuk persiapan murid-murid menghadapi peperiksaan sijil Sekolah Rendah Ugama Darjah 6, memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga murid-murid Sekolah Ugama Lumapas, khususnya serta semua murid-murid darjah enam di Negara Brunei Darussalam amnya dapat menjawab dengan tenang semasa peperiksaan dilaksanakan.

Peperiksaan Sijil Sekolah Rendah Ugama bagi murid-murid Darjah 6 tahun ini akan bermula pada 18 November ini, hingga 27 November 2017. Seramai 64 orang murid Sekolah Ugama Lumapas dianggarkan akan menduduki peperiksaan tersebut.

Persatuan PERLU Mendukung Belia

Mengimbas sekilas mengenai sejarahnya, Persatuan Belia Lumapas (PERLU) mula ditubuhkan pada 30 Januari 1967, yang dahulunya dikenali dengan nama Persatuan Muda Mudi Kampung Lumapas.

Persatuan ini ditubuhkan untuk menyatupadukan belia-belia dan beliawanis-beliawanis Kampung Lumapas, dengan kegiatan-kegiatan dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi mengisi masa lapang mereka dengan lebih berfaedah, agar belia-belia ini tidak mudah terdedah kepada aktiviti-aktiviti berunsurkan gejala sosial dan sebagainya.