Majlis doa selamat bagi 30 anggota misi UNIFIL Lubnan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Majlis Doa Selamat telah diadakan di Surau Ad-Difa’ bagi 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan menyertai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di bawah kontinjen Malaysia (MALBATT 850-8) dan akan diketuai oleh Mejar Zulazri bin Gapor.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat;, Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para pengarah, komandan, pegawai kanan dan anggota dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan tadarus ayat-ayat suci Al-Quran, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat yang diketuai oleh Awang Mohd Nur Amin bin Haji Jali. ABDB telah menyertai misi pengamanan di bawah UNIFIL sejak 2008.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi ketika menghadiri Majlis Doa Selamat bagi anggota ABDB yang menyertai misi pengaman UNIFIL di Lubnan.
Majlis Doa Selamat diadakan di Surau Ad-Difa’, Kementerian Pertahanan.