Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Majlis graduasi rai pelajar Tahun 6

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Bagi meraikan kejayaan pelajar Tahun 6 dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2021, Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh, Kampung Sungai Hanching telah mengadakan majlis graduasi dan penghargaan.

    Majlis yang diadakan dalam suasana norma baharu dengan konsep pandu lalu di kawasan sekolah itu menyaksikan pelajar memakai pakaian jubah dan topi graduasi yang diiringi oleh ibu bapa untuk turun bagi menerima sijil dan hadiah daripada guru besar sekolah berkenaan, Dayang Nazrah binti Haji Abdul Samad.

    Sejurus menerima sijil, pelajar bergambar bersama guru besar dan guru-guru Tahun 6 yang telah berusaha mendidik dan bekerja keras sepanjang tahun walaupun menghadapi cabaran pembelajaran semasa wabak pandemik.

    “Ini adalah sesuatu yang anak saya akan simpan dalam ingatannya akan perjalanannya sepanjang mengikuti pendidikan rendah dan dengan majlis seumpama ini ia adalah salah satu yang tidak dapat dilupakan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah, yang telah mengajar mereka dengan baik sepanjang mengikuti pengajian di sekolah ini,” kata seorang ibu bapa.

    Seorang lagi ibu bapa turut berkongsi pandangan yang sama dan turut memuji usaha dan kerja keras guru serta kakitangan yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut dengan lancar.

    Salah seorang pelajar yang diraikan dalam majlis graduasi bagi Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching dalam norma baharu.

    Walaupun pelajar diraikan dalam norma baharu, ia mematuhi langkah SOP dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

    “Saya tidak menjangka ia akan menjadi seceria ini kerana dalam fikiran saya ia hanya pandu lalu di mana anak saya akan turun untuk mengambil sijil tetapi ketika saya memandu di jalan masuk, saya kagum dengan apa yang berlaku”.

    “Pihak sekolah telah melakukannya dengan baik di samping itu ‘pentas’ graduasi telah dihias indah menjadikan majlis itu lebih berwarna, manakala guru besar dan guru-gurunya semua dipenuhi dengan semangat gembira melihat kejayaan pelajar mereka,” kata ibu bapa yang lain.

    Sementara itu, beberapa orang pelajar melahirkan rasa terima kasih kepada pihak sekolah kerana dapat mengharungi hari graduasi dengan penuh kegembiraan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...