Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Majlis Haflut Takharruj ITQSHHB raikan 20 graduan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR sERI BEGAWAN, 16 FEB – Seramai 20 graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) hari ini diraikan pada Majlis Haflut Takharruj ke-9 institut itu Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Berangkat menyempurnakan penganugerahan syahadah (sijil) kepada para graduan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku penaung Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj ke-9 ITQSHHB.

    Turut menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia berdua ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku penasihat Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj ITQSHHB; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj ITQSHHB serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa kerja haflut takharruj tersebut.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para graduan Diploma ‘Aliyah Qira’at.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan penganugerahan syahadah atau sijil Diploma ‘Aliyah Qira’at kepada para graduan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan berangkat pada majlis berkenaan.
    Sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
    Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Auni Marzuqi manakala inti sari ayatnya dibacakan oleh Awang Muhd Ekram ‘Afif.
    Para graduan Diploma ‘Aliyah Qira’at yang diraikan pada majlis tersebut.
    Antara para jemputan yang menghadiri majlis berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan hafazan ayat-ayat suci Al-Quran iaitu Surah Al-Mutaffifin ayat 22 hingga ayat 36 oleh Awang Auni Marzuqi bin Haji Anuar manakala inti sari ayatnya pula dibacakan oleh Awang Muhammad Ekram ‘Afif bin Haji Awang Mohd Hanafi.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyembahkan, 20 orang graduan menerima Diploma ‘Aliyah Qiraat mereka setelah berjaya menamatkan pengajian selama tiga tahun.

    “Kejayaan mereka ini menjadikan jumlah al-Khirrijiun atau Alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah seramai 174 orang,” katanya.

    Daripada jumlah tersebut, 85 orang daripadanya lulus pangkat mumtaz dengan mendapat markah penuh nilai gred yang ditetapkan dalam peperiksaan akhir semester enam, sesi pengajian 2020/2021 termasuklah 13 orang daripadanya yang diraikan hari ini, tambah Yang Berhormat Pehin.

    Beliau seterusnya menyembahkan, dengan kejayaan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan rasa syukur dan menyampaikan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada mereka dan kepada ibu bapa masing-masing dengan iringan doa agar sentiasa mendapat keberkatan ilmu dan hafazan ayat-ayat Al-Quran.

    Yang Berhormat Pehin turut mengharapkan graduan akan mempergunakan ilmu serta kemahiran menghafal ayat-ayat Al-Quran dengan sebaik-baiknya, terpelihara di dada dan sanubari, melekat di minda dan bersarang di hati.

    Menurutnya lagi, pengurniaan syahadah Diploma ‘Aliyah Qira‘at kepada graduan kali ini terdiri daripada 11 orang siswa dan sembilan orang siswi yang mana, 10 orang daripada penerima mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), lapan orang menerima pangkat Jayyid Jiddan (Sangat Baik) dan dua orang menerima pangkat Jayyid (Baik).

    Penganugerahan Diploma ‘Aliyah Qira‘at Al-Quran kepada para graduan ITQSHHB adalah sebagai pengiktirafan atas kejayaan para siswa dan siswi khusus dalam bidang hafazan Al-Quran dan ilmu Qira‘at.

    Bagi memberkati majlis Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...