Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Majlis hargai penulis tanah air

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Untuk mengapresiasi dan memberi penghormatan kepada penulis-penulis tanah air yang telah menerima anugerah dalam dan luar negara atas jasa serta bakti mereka, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan Multaqa Anugerah Sastera Mastera: Memoir Muslim Burmat di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, hari ini.

    Pengungkayahan majlis multaqa pada tahun ini merupakan yang ketiga setelah kali pertama pada 2019, iaitu memberikan penghargaan kepada Allahyarham Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Yahya bin Haji Ibrahim (Yahya M.S.), Penerima Anugerah Kesusasteraan Islam (AKT), 2008 dan pada 2020 yang memberikan apresiasi kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (Adi Rumi), penerima Anugerah Kesusasteraan Islam (AKI), 2013.

    Majlis Multaqa kali ini menghargai dan mengapresiasi seorang penulis mapan dan prolifik negara, iaitu Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim bin Haji Burut atau lebih dikenali dengan nama pena Muslim Burmat di persada penulisan tempatan dan serantau.

    Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 15 Jun 2021,

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Yang Berhormat Haji Nazmi bersama tetamu lain menadahkan tangan semasa doa dibacakan untuk Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, kelmarin.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan tahlil untuk Allahyarham Dato Paduka Haji Muslim sebelum ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab.

    Kemudian majlis diikuti dengan tayangan video yang memaparkan gambar-gambar ristaan, pandangan daripada penulis-penulis tanah air dan luar negara serta karya-karya Muslim Burmat sepanjang penglibatan Allahyarham dalam dunia penulisan dan kesusasteraan.

    Menurut kenyataan DBP, multaqa kali ketiga ini juga mengetengahkan konsep forum, iaitu membicarakan mengenai penglibatan dan ketokohan Allahyarham dalam dunia penulisan dan kesusasteraan serta membincangkan beberapa karya Allahyarham daripada ahli-ahli panel forum, iaitu pegawai-pegawai bahasa kanan DBP, Awang Syahwal Nizam bin Haji Yani dan Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin (H.Mar); Pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2011, Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff (Zefri Ariff Brunei) dan mantan pensyarah UBD, Haji Kamis bin Haji Tuah.

    Muslim Burmat merupakan penulis tersohor, mapan dan prolifik di Negara Brunei Darussalam khususnya dalam persada penulisan novel dan cerpen.

    Penglibatan beliau dalam kesusasteraan tanah air dan kualiti penulisannya yang bernilai tinggi dapat dilihat dengan kejayaan Allahyarham memperoleh beberapa anugerah tempatan dan serantau seperti Anugerah Penulis Asia Tenggara (1986), Anugerah Sastera Nusantara (1999), Hadiah Sastera Mastera (2001 dan 2007), Tokoh Sastera Brunei Darussalam (2002) dan Anugerah Sastera Mastera (2006). Selain itu, karya-karya beliau juga menjadi tumpuan sebagai bahan penyelidikan dan kajian para pengkaji sastera baik tempatan mahupun luar negara.

    Majlis diserikan lagi dengan persembahan teater Kumpulan Putra Seni (KPS) yang mempersembahkan salah satu karya daripada Muslim Burmat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...