Majlis ibadah korban diteruskan

Oleh Salawati Haji Yahya, Syahmi Hassan, Yusrin Junaidi & Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani, Syahmi Hassan & Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Beberapa lagi kementerian kerajaan telah mengadakan majlis ibadah korban, hari ini, dalam sama-sama menyemarakkan hari kebesaran Islam pada tahun ini yang diraikan dengan norma baharu.

Kementerian Hal Ehwal Ugama

Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) adalah antara yang mengadakan majlis ibadah korban bagi warganya yang berlangsung di Ruang Legar, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU.

Pada tahun ini, tujuh ekor kerbau telah dikorbankan dalam majlis tersebut di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin mengagih-agihkan daging ibadah korban tersebut kepada peserta-peserta ibadah korban dan para penerima yang terpilih dalam kalangan pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang serta pegawai dan kakitangan kementerian tersebut.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin mengagihkan daging korban kepada penerima terpilih.
Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi mengagihkan daging korban kepada salah seorang peserta korban.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyempurnakan pengagihan daging korban kepada penerima secara pandu lalu.
Antara yang hadir pada majlis ibadah korban yang berlangsung di Ruang Legar, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan KHEU.
Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar menyampaikan daging korban kepada penerima.
Antara peserta yang hadir pada majlis ibadah korban anjuran Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Surau Ad-Difa, Bolkiah Garison. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
Haji Mohammad Rosli menyerahkan daging ibadah korban warga KHEU kepada salah seorang penerima.
Haji Abdul Manap mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima secara pandu lalu di Kementerian Kesihatan.
Antara peserta yang hadir pada majlis ibadah korban anjuran Kementerian Pertahanan yang berlangsung di Surau Ad-Difa, Bolkiah Garison. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
Antara penerima agihan daging korban warga KHEU.

Pada majlis itu juga, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyerahkan daging-daging ibadah korban kepada ketua-ketua rombongan yang diketuai oleh setiausaha tetap di KHEU untuk diagih-agihkan kepada asnaf fakir miskin yang terpilih kepada 249 orang ketua keluarga di keempat-empat daerah.

Turut menyertai proses pengagihan daging-daging ibadah korban tersebut ke rumah-rumah asnaf yang terpilih di seluruh negara, ialah belia-belia di bawah Program Keagamaan Belia KHEU.

Kementerian Pertahanan

Sementara itu, sembilan ekor kerbau dan tujuh ekor kambing pula telah dikorbankan pada Majlis Korban dan Akikah anjuran Kementerian Pertahanan yang berlangsung Surau Ad-Difa, Bolkiah Garison.

Daging-daging korban berkenaan telah diagihkan kepada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan.

Kementerian Pertahanan dan ABDB juga telah menghantar daging-daging korban tersebut ke rumah-rumah anak yatim Kementerian Pertahanan dan ABDB serta asnaf yang tinggal berhampiran dengan kawasan Bolkiah Garison.

Hadir bagi mengagihkan daging-daging korban tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemangku Pemerintah ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah serta empat peserta korban yang terdiri daripada dua anggota ABDB dan dua kakitangan Kementerian Pertahanan.

Acara korban dan akikah yang sama juga telah dilaksanakan di semua perkhemahan dan garison ABDB pada hari ini melibatkan 34 ekor kerbau dan 16 ekor kambing secara keseluruhan.

Majlis tersebut telah dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan KHEU bagi mengawal penyebaran COVID-19.

Kementerian Kesihatan

Di Kementerian Kesihatan, majlis anjuran kementerian berkenaan telah menyaksikan sembilan ekor kerbau dikorbankan dan diagihkan kepada 120 orang penerima yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan.

Pengagihannya telah dijalankan secara pandu lalu dan disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat.

Turut mengagih-agihkan daging korban ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Haji Khalifah bin Pengiran Haji Ismail.

Kementerian Tenaga

Sebuah lagi kementerian kerajaan yang mengadakan majlis serupa hari ini ialah Kementerian Tenaga, jabatan-jabatan di bawahnya dan badan-badan berkanun yang berlangsung Dewan Persidangan East Wing, Bangunan Jabatan Perdana Menteri.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Kementerian Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, SHENA dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

Tiga ekor kerbau telah dikorbankan pada majlis berkenaan dan dagingnya diagih-agihkan kepada 20 orang penerima yang terdiri daripada kakitangan kementerian berkenaan, jabatan-jabatan di bawahnya dan badan-badan berkanun serta golongan asnaf yang tinggal di kawasan Mukim Berakas.

Baki daging-daging korban juga diagihkan ke rumah-rumah 65 orang asnaf fakir miskin.