Majlis Iftar semarakkan bulan Ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Seramai 120 orang pelajar asrama dari Sekolah Persediaan Arab (Sanah 5 dan 6) dan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah telah menyertai Majlis Iftar yang dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI) bagi menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan ini.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis yang berlangsung di Musollah Firdaus, Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan itu ialah Penolong Pengarah Institusi Pengajian, JPI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Mariana binti Haji Jamil.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab, JPI, Pengiran Haji Aminuddin bin Pengiran Haji Hussain dan pegawai-pegawai JPI.

Majlis bertujuan untuk menghayati sunnah Rasulullah SAW pada bulan Ramadan, memupuk silaturahim antara warga sekolah dan JPI, menanamkan rasa cinta terhadap Al-Quran dan melatih pelajar melakukan solat-solat sunat seperti solat Sunat Tarawih dan Witir.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah-surah lazim, bertahlil, berbuka puasa, solat Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah dan solat Sunat Tarawih dan Witir.

Antara pelajar yang menyertai Majlis Iftar anjuran Jabatan Pengajian Islam bagi menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan.