Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Majlis Istiadat Gendang Jaga jaga ditutup

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Bahiyah Bakir dan Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Majlis-majlis sempena Istiadat Perkahwinan Diraja antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Yang Amat Mulia Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi yang bermula pada 16 Januari lalu sampai kemuncaknya dengan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga yang berlangsung di Istana Nurul Iman, hari ini.

    Setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan supaya istiadat dimulakan.

    Empat orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang sedia terpasang (bertunu) dan kemudiannya disusuli dengan Surat Dikir, bantal Geguling dan Pabarahan dibawa masuk oleh tiga orang Awang-Awang dan diletakkan di tempat yang ditentukan. Majlis diserikan dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) sehingga kepada perenggan ‘Ya Habibi’, maka diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.

    Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman, Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Haji Awang Abu Bakar dan Awang-Awang akan masuk ke dalam majlis dengan membawa Anchit yang mengandungi minyak wangi-wangian dan seterusnya menyembahkan dan memberikan kepada yang hadir.

    Sementara itu, Doa Dikir dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

    Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga sempena Istiadat Perkahwinan Diraja antara YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan YAM Pengiran Suami Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi disempurnakan hari ini di Istana Nurul Iman, dengan titah perkenan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Manakala pada majlis yang berlangsung di Dewan Cempaka, Darussidiq, Jerudong, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berangkat menyempurnakan permulaan majlis itu. – Gambar oleh Infofoto.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga yang berlangsung di Dewan Cempaka, Darussidiq, Jerudong kelmarin.
    YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz menyabdakan supaya istiadat penutupan gendang jaga-jaga dimulakan.
    Majlis diserikan dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) semasa Istiadat Menutup Gendang Jaga-jaga di Istana Nurul Iman kelmarin.
    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.
    Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Haji Awang Abu Bakar membawa Anchit yang mengandungi minyak wangi-wangian dan seterusnya memberikan kepada yang hadir.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz seterusnya menyabdakan supaya majlis ditutup setelah mendapat kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Majlis turut dihadiri oleh yang amat mulia pengiran-pengiran cheteria, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, pengiran-pengiran peranakan, pehin-pehin manteri, manteri-manteri hulubalang dan manteri-manteri pendalaman, duta-duta, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan.

    Dalam Majlis Istiadat Menutup Gendang Jaga-Jaga tersebut, semua alat perhiasan diraja diturunkan di Balai Pemajangan sebaik-baik sahaja tembakan meriam dilepaskan. Terdahulu pada sebelah pagi, Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga berlangsung di Dewan Cempaka, Darussidiq, Jerudong.

    Berangkat ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim, Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit, Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya Brigadier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan dan Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi. Sejurus keberangkatan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dijunjung ke bilik khas.

    Setelah menerima sabda Duli Yang Teramat Mulia supaya istiadat dimulakan, empat orang Awang-Awang masuk ke dalam majlis untuk meletakkan Dian Empat yang sedia terpasang (bertunu). Surat Dikir, Bantal Geguling dan Pebarahan dibawa masuk oleh tiga orang Awang-Awang dan diletakkan di tempat yang telah ditentukan.

    Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga dimulakan dengan Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) dan sampai sahaja kepada perenggan “Ya Habibi,” maka diikuti dengan tembakan Meriam sebanyak 17 das.

    Sementara itu, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Awang Maidin, Yang Dimuliakan Pehin Penyurat Haji Awang Osman, Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Haji Awang Abu Bakar dan Awang-Awang masuk ke dalam majlis dengan membawa Anchit yang mengandungi minyak wangi-wangian dan seterusnya menyembahkan/memberikan kepada yang hadir mengikut keutamaannya.

    Manakala itu, Doa Zikir dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon dan Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 remaja ditahan dalam serbuan antikeganasan

    SYDNEY, 24 APRIL - Polis Australia memberkas tujuh remaja dalam serbuan antikeganasan hari ini, dengan dakwaan rangkaian itu mungkin merancang serangan dan menimbulkan ‘risiko...