Majlis istiadat perbarisan Hari Polis ke-99

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), hari ini, mengadakan Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Polis ke-99 tahun di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan berangkat ke majlis istiadat berkenaan.

Berkenan berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Komandan Polis Wanita.

Juga hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Amin Liew bin Abdullah.

Majlis dimulakan dengan Duli Yang Teramat Mulia berkenan memeriksa perbarisan anggota PDB seramai 1,021 orang diiringi oleh Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.

Selepas pemeriksaan barisan, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda dan menyaksikan perbarisan berjalan lalu di hadapan pentas diraja dalam gerak perlahan dan cepat yang diketuai oleh Supt Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah.

Duli Yang Teramat Mulia seterusnya mengadakan lawatan ke Bangunan Ibu Pejabat PDB, Jalan Tungku Gadong bagi menyaksikan pameran.

Kemudian, Duli Yang Teramat Mulia serta kerabat diraja berkenan menghadiri Santap Pagi yang berlangsung di Mes Pegawai Polis, Gadong.

Sejurus ketibaan, Duli Yang Teramat Mulia juga berkenan menandatangani lembaran kenangan PDB.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena Sambutan Hari Polis ke-99 di Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan memeriksa perbarisan anggota PDB.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung menyaksikan pameran di Ibu Pejabat Polis Gadong.