Majlis keagamaan rai ulang tahun ke-59 Masjid Setia Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT sempena sambutan ulang tahun penubuhan ke-59 tahun, Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara telah mengadakan majlis keagamaan yang diadakan di masjid berkenaan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penasihat bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Haji Muhammmad bin Haji Mohd Yassin.

Selepas menunaikan sembahyang fardu Maghrib berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan  tahlil yang dipimpin oleh imam masjid berkenaan Awang Mohd Faizal bin Awang Fauzi, khusus bagi imam-imam, bilal dan makbut yang telah kembali ke rahmatullah sementara Doa Kesyukuran dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Setia Ali, Awang Nasehin bin Haji Yahya.

Majlis berkenaan juga diselajurkan dengan majlis ramah mesra Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan yang diberikan, Masjid Setia Ali yang terletak di Pekan Muara kira-kira 25.5km dari Bandar Seri Begawan telah mula dibina pada 30 Julai 1960 dan siap pembinaannya pada November 1961 serta dibuka rasmi pada 8 Jun 1962.

Masjid berkenaan telah menyaksikan pelbagai kejayaan dalam menyatupadukan para jemaahnya menerusi berbagai-bagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Awang Mohd Faizal memimpin bacaan Surah Yasin pada majlis keagamaan itu.