Majlis keagamaan sebagai tanda kesyukuran Hari Keputeraan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-74 yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, ketua-ketua jabatan, pihak berkuasa dan bahagian, pegawai-pegawai serta kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau LTAB, Pengiran Haji Mohd Ismail bin Pengiran Haji Tuah, diikuti dengan bacaan doa sebagai melahirkan tanda syukur atas kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan seterusnya merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah negara dengan berlandaskan iman dan panduan daripada Allah SWT.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi serta warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika menunaikan sembahyang Fardu Asar berjemaah di surau LTAB. – Gambar oleh Syazwani Haji Rosli