Majlis keagamaan semarak sambutan Hari Keputeraan

Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 tahun, pelbagai acara keagamaan terus diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Di Daerah Brunei dan Muara, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan majlis membaca Surah Yasin, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Fardu Asar berjemaah di Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini, hadir ke majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @Othman.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Yasin, diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Sungai Bunga, Mukim Kota Batu, Awang Zaini bin Haji Salleh dan seterusnya Doa Kesyukuran dan sembahyang Fardu Asar berjemaah.

Sementara di Daerah Belait, majlis seumpamanya turut diadakan oleh para penghulu mukim, pemangku penghulu dan ketua-ketua kampung serta pemangku ketua-ketua kampung di Daerah Belait dengan kerjasama Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait itu ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Hamudin dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, selaku pemangku penghulu Mukim Labi.

Turut hadir ialah para penghulu mukim, pemangku penghulu, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung serta para pegawai dan kakitangan Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Belait.

Majlis antara antara lain bertujuan untuk memohon ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia, dikurniakan taufik dan hidayah, sihat walafiat dan dikurniakan rahmat dan petunjuk dari Allah SWT serta kekal karar memerintah di atas singgahsana kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Awang Ramlee bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara ketika hadir pada majlis tersebut.
Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed ketika hadir pada acara yang diadakan Masjid Hassanal Bolkiah Kampung Mentiri.