Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini telah mengadakan majlis tadarus sempena bulan Ramadan bertempat di Masjid Kampung Salambigar, Kampung Salambigar.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap I di KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi; ketua-ketua jabatan; pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan wakaf oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Masrol Azami bin Haji Abdullah, selaku ketua imam Masjid Kampung Salambigar berupa kerusi bankuet sebagai tambahan kepada yang sedia ada bagi kegunaan di masjid berkenaan.
Majlis diteruskan dengan tadarus Al-Quran didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Majlis disusuli dengan berbuka puasa dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.
Aktiviti bertadarus tersebut merupakan aktiviti KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya yang diadakan pada setiap tahun pada bulan Ramadan bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan di samping mendapatkan keberkatan serta ganjaran pahala daripada Allah SWT.