Majlis keagamaan Sempena Hari Guru ke-30

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAM, 23 SEPT – Bersempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-30, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Bacaan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Majlis yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara itu diteruskan dengan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-30.

Hadir pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan di Kementerian Pendidikan dan KHEU.

Majlis telah dimulakan dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah bagi menghindari wabak dan keselamatan Negara Brunei Darussalam yang diimamkan oleh Imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Awang Mohammad Hassanal bin Haji Mohammad diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.

Manakala itu, Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dibacakan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang kemudian sembahyang Fardu Asar berjemaah diimamkan oleh Awang Mohammad Hassanal.

Majlis dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan termasuk guru-guru dari sekolah-sekolah, maktab, institusi pengajian tinggi dan teknikal di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU.

Majlis Doa Kesyukuran berkenaan merupakan sebahagian daripada kegiatan keagamaan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan dan KHEU.

Tema bagi Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar’.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Sulaiman ketika mengaminkan doa pada majlis keagamaan sempena Sambutan Hari Guru ke-30 Negara Brunei Darussalam di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Pengajian Islam
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika sama-sama menunaikan sembahyang berjemaah. – Gambar serahan Jabatan Pengajian Islam