Majlis keagamaan sempena Hari Guru

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Bersempena Sambutan Hari Guru ke-31 tahun 2021, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) akan mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Ia akan diselajurkan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Guru ke-31 Tahun 1443H/2021M dan Forum Khas An-Nur.

Dengan mengambil kira situasi terkini penularan wabak COVID-19 di negara ini dan langkah-langkah pengawalan yang masih dikuatkuasakan, majlis berkenaan akan dilaksanakan secara siaran televisyen melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera, serta semua rangkaian radio di Radio Televisyen Brunei pada 23 September ini bermula 6:30 petang.

Sementara itu, rakaman rancangan Forum Khas An-Nur sempena Sambutan Hari Guru ke-31 akan disiarkan pada hari yang sama pukul 9 malam.

Tajuk Forum ialah Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar yang juga merupakan tema Sambutan Hari Guru tahun ini.

Ahli panel bagi forum khas itu ialah Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Hilman bin Haji Salim dan Penolong Profesor, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Haji Rozaiman bin Makmun manakala moderator dalam forum berkenaan ialah Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, Haji Mohammad Jaya bin Haji Metussin.

Acara-acara keagamaan sempena Sambutan Hari Guru ke-31 masih terus diadakan bagi memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas segala kurniaanNya, di mana semua rakyat di negara ini dapat mengikuti pendidikan berpandukan Sistem Pendidikan Negara yang menekankan kepada kepentingan ilmu duniawi dan ukhrawi.

Di samping itu, melalui acara berkenaan juga dihasratkan dapat menzahirkan penghargaan kepada golongan guru atas jasa dan pengorbanan mereka mendidik pelajar sehingga menjadi rakyat yang berpengetahuan dan berpendidikan tinggi.

Selain itu, acara berkenaan akan dapat mengeratkan silaturahim semua warga pendidik di seluruh negara dalam apa jua keadaan yang dihadapi.