Majlis keagamaan sempena HPPPN ke-11

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), hari ini, telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) ke-11 secara maya.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan seterusnya Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Amin bin Haji Salim.

Acara diteruskan dengan ucapan khas sempena sambutan HPPPN oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.

Turut hadir semasa acara berkenaan ialah beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bergiat dalam industri pertanian, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di KSSUP, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KSSUP dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para peladang dan pengusaha di bawah sektor pertanian dan perikanan.

Mengambil kira situasi semasa COVID-19, program sempena sambutan pada tahun ini diisikan dengan acara seminar secara maya.

Antara tema-tema yang akan dikongsikan semasa sesi seminar tersebut ialah Pertanian Dalam Kehidupan; Penglibatan Belia Dalam Bidang Pertanian; Peluang-peluang Perniagaan dan Pembiayaan Kewangan Dalam Bidang Pertanian; Transformasi Ke Arah Teknologi dan Teknik Moden Pertanian; dan Peluang-peluang Sektor Pertanian di Masa Hadapan.

Orang ramai boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan melayari laman web jabatan pertanian. Acara HPPPN merupakan sambutan khas yang diadakan setiap 1 November khusus untuk mengiktiraf sumbangan pengusaha-pengusaha pertanian, perikanan, penternakan dan agrimakanan dalam membangun ekonomi negara.

HPPPN juga dihasratkan untuk memberi semangat dan motivasi kepada para pengusaha untuk meningkatkan lagi keluaran serta produktiviti industri pertanian, perikanan, penternakan dan agrimakanan ke arah menyumbang kepada memastikan bekalan makanan dalam negara adalah mencukupi dan mampan.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menghadiri Majlis Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) ke-11 secara maya, kelmarin.