Majlis kenang jasa bakti tokoh

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Saudara Ku (SK) Kampung Setia Purih Kampung Rangau hari ini, telah menganjurkan Majlis Baimpun Menjalin Kasih Menyulam Sayang SK yang berlangsung di kediaman SK41 Supt (B) Haji Yahya bin Haji Ibrahim di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturahim dan talian persaudaraan dalam kalangan Purih Kampung Rangau dan Kampung Setia melalui Kumpulan SK Kampung Setia.

Di samping itu, ia juga diadakan bagi mengenang kembali jasa bakti yang dicurahkan oleh tokoh-tokoh Kampung Setia yang telah kembali ke rahmatullah dan atas usaha dan kerja keras membawa penduduk Kampung Rangau ke arah kehidupan yang lebih baik.

Majlis Tahlil dan Doa Arwah bagi allahyarham dan allahyarhamah keluarga SK dimulakan dengan bacaan Tahlil oleh SK90 Haji Zul-Hilmi bin Haji Lakat.

Di samping itu, majlis diselajurkan dengan Doa Kesyukuran sempena 55 tahun penghijrahan penduduk Kampung Rangau ke Brunei dan Doa Kesyukuran sempena kejayaan Pasukan Maulud Nabi Muhammad SAW SK Kampung Setia.

Kemudian, majlis juga diteruskan dengan menyantun kasih warga emas SK Kampung Setia dan Doa kesyukuran sempena kejayaan mengendalikan kejohanan bola sepak veteran sembilan sepasukan buat kali pertama.

Gambar beramai yang hadir pada Majlis Menjalin Kasih Menyulam Sayang SK di RPN Lambak Kanan.