Majlis Keselamatan PBB pilih empat anggota baharu

NEW YORK, 18 JUN – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepakat memilih empat anggota baharu bagi menyertai Majlis Keselamatan (UNSC) untuk tahun 2021 dan 2022.

Pemilihan itu bagaimanapun menyaksikan Kanada sekali lagi terkeluar manakala pertarungan untuk negara Afrika memasuki pusingan kedua.

India, Mexico, Norway dan Ireland dipilih sebagai anggota tidak tetap, manakala Djibouti dan Kenya, masing-masing gagal memperoleh dua pertiga undi, perlu memasuki pusingan kedua, hari ini.

Kanada tewas sekali lagi untuk memenangi kerusi negara Barat, kali ini oleh Norway dan Ireland, meskipun berusaha keras dalam kempen, satu keputusan yang dianggap memberi tamparan kepada Perdana Menteri Justin Trudeau.

Di rantau Asia Pasifik, India meskipun gagal memenangi kerusi tetap dalam bahagian lanjutan Majlis Keselamatan, berjaya meraih 184 undi dari 192 negara yang mengambil bahagian dalam pemilihan.

Keputusan itu bermakna India berpeluang duduk semeja bersama China, beberapa hari selepas kedua negara saling bertelagah berhubung sempadan Himalaya, yang menyaksikan 20 anggota tentera India terbunuh. Mexico, juga menang tanpa sebarang bantahan, meraih 187 undi. Negara dari benua Afrika pada musim lalu memilih calon mereka sendiri namun gagal meletak sebarang negara kali ini.

Kenya menerima 113 undi berbanding Djibouti yang hanya meraih 78 undi. – AFP