Majlis kesyukuran ABDB

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Pertahanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Sambutan Hari Ulang tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-59 pada tahun ini telah diraikan dengan Majlis Kesyukuran Khas yang diadakan di Blok Menara Kementerian Pertahanan berbanding dengan sambutan perbarisan raksasa dan perhimpunan besar-besaran disebabkan situasi COVID-19 di negara ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, para pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para pengarah, komandan dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB serta para sarjan mejar tentera.

Majlis Doa Kesyukuran dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Majlis Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran Khas bagi Hari Ulang Tahun ABDB ke-59 tahun yang dipimpin oleh Ketua JAMA’AT, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

Majlis serupa juga telah diadakan secara serentak di semua garison dan kem ABDB.
Tema Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB tahun ini ialah ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Pemerintah ABDB pada Majlis Kesyukuran Ulang Tahun ke-59 ABDB.
Antara yang turut hadir pada majlis kesyukuran di Blok Menara Kementerian Pertahanan.