Majlis kesyukuran rai hari puja usia

Oleh Ak Zaki Kasharan & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Sempena Sambutan Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, pelbagai pihak terutamanya perkumpulan wanita yang dinaungi Baginda Raja Isteri telah mengadakan majlis keagamaan secara maya.

Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) adalah antara yang mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran secara dalam talian, kelmarin, di mana selaku tetamu kehormat majlis ialah isteri Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku yang di-pertua PEKERTI.

Turut menyertai majlis tersebut ialah Pengerusi PEKERTI, Datin Hajah Siti Shamsiah binti Haji Abdul Samad, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan ahli-ahli daripada lima cawangan PEKERTI berjumlah lebih 50 orang.

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tahunan PEKERTI dan dikendalikan sepenuhnya oleh Badan Keugamaan PEKERTI dalam memperingati sambutan Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri selaku penaung PEKERTI.

Turut mengadakan majlis berkenaan, malam tadi, ialah Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), di mana Baginda Raja Isteri selaku penaung persatuan, yang juga diselajurkan Sambutan Hari Pandu Puteri 2021.

Pengiran Datin Hajah Zauyah hadir selaku tetamu kehormat pada majlis dalam talian yang diadakan oleh PEKERTI.
Datin Hajah Masni bersama ahli-ahli PPPBD yang menyertai majlis keagamaan berkenaan. – Gambar serahan PPPBD
Antara yang hadir pada Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran anjuran SUAMPRIPAHS, kelmarin. – Gambar serahan SUAMPRIPAHS

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPPBD, majlis itu juga bertujuan sebagai tanda kesyukuran atas limpah kurnia kemakmuran dan keamanan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada Negara Brunei Darussalam serta memohon perlindungan daripada wabak
COVID- 19 dan meningkatkan serta mengukuhkan perasaan muhibah dan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan secara dalam talian.

Hadir pada majlis itu ialah Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Ali; Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali.

Kenyataan menyatakan, Hari Pandu Puteri turut diraikan bersempena Hari Anak Perempuan Sedunia yang disambut setiap 11 Oktober dengan tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Generasi Digital. Generasi Kita’.

Sementara itu, hari ini, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran.

Majlis dihadiri oleh pengetua sekolah berkenaan, Hajah Azizah binti Haji Mohammad dan dihadiri oleh kira-kira 170 orang guru dan kakitangan sekolah berkenaan.