Majlis kesyukuran rai ulang tahun PPPMB ke-42

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Persekutuan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah mencapai usia ke-42 tahun sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1978.

Sehubungan dengan itu satu Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun PPPMB ke-42 Tahun telah diadakan di Dewan Hotel Higher, di Kampung Kiulap, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif bin Awang Chuchu antara lain mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kejayaan penganjuran majlis Sambutan Ulang Tahun PPPMB ke-42 hari ini.

Dr Haji Abdul Latif turut menjelaskan bahawa PPPMB yang dahulunya dikenali dengan nama Gabungan Peniaga-Peniaga Melayu telah dianggotai oleh beberapa orang peniaga Melayu yang berjiwa besar meskipun mereka hanyalah peniaga kecil. PPPMB aktif memberi peluang kepada ahlinya untuk bergiat dalam perniagaan. Sejak tahun 2016, PPPMB telah menghantar ramai belia bagi mengikuti pelbagai kursus dalam bidang keusahawanan ke luar negara seperti di China, Jepun dan sebagainya.

Selain kursus atau bengkel di luar negara, PPPMB turut memberikan peluang kepada ahli-ahlinya untuk menyertai beberapa bengkel atau kursus di dalam negara misalnya kursus asas perakaunan dan kursus membuat roti canai.

Majlis turut diserikan dengan majlis penyampaian sijil penghargaan yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Antara objektif penubuhan PPPMB ialah bagi menyatupadukan peniaga-peniaga Melayu dan mewujudkan sikap bantu-membantu serta bermuzakarah demi mengukuhkan sebarang kegiatan ekonomi melalui perniagaan di kalangan masyarakat Melayu Brunei seterusnya dihasrat dapat meningkatkan taraf hidup serta kemajuan perniagaan-perniagaan dan kegiatan ekonomi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi ketika menghadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Ulang Tahun PPPMB ke-42 Tahun.