BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2019, Majlis Kesyukuran akan diadakan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada 2 Mei ini.
Masjid bagi Daerah Brunei dan Muara adalah di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Daerah Tutong di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Daerah Belait di Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait dan Daerah Temburong di Masjid RPN Kampung Rataie.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam kenyataannya di sini, hari ini, mengalu-alukan orang ramai hadir bagi sama-sama menyemarakkan majlis berkenaan.
Kenyataan menjelaskan, antara fokus utama sambutan pada tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya rasa kasih sayang antara ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga. Menurut kenyataan itu lagi, negara dengan masyarakat yang penyayang, hormat menghormati, saling mendukung dan pemedulian akan dapat menguatkan institusi keluarga ketika menghadapi dugaan dan cabaran hidup sekali gus mewujudkan sebuah negara gemilang dan harmoni.
HKK bagi Negara Brunei Darussalam diisytiharkan pada setiap Ahad minggu pertama Mei setiap tahun dan pada tahun ini, HKK jatuh pada 5 Mei dengan tema ‘Keluargaku Harapanku’.