Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (SPABSB) hari ini mengadakan majlis kesyukuran sempena Jubli Perak penubuhan sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Hairul Idzany bin Haji Abdul Kani dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Mudir sekolah berkenaan, Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut.
Majlis diikut dengan perasmian Buku Yasin SPABSB yang merupakan sumbangan untuk dijadikan wakaf amal jariah.
Acara diselajurkan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil, diikuti tayangan video kenangan, dan kemudiannya penyampaian wakaf Buku Yasin.
Majlis turut diserikan dengan pameran mini Pendidikan Merentas Zaman SPABSB yang bertujuan untuk menghargai dan menjemput sama mantan pemimpin, guru-guru dan kakitangan yang pernah berkhidmat di sekolah berkenaan.
SPABSB ditubuhkan pada tahun 1984 diketuai oleh ketua guru di bawah pentadbiran Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Bermula tahun 1997, SPABSB berdiri di bawah pentadbiran sendiri dengan ditadbir oleh guru besar selaku ketua sehingga sekarang.