Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Majlis kesyukuran sempena penubuhan MKM

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bersempena ulang tahun penubuhannya yang ke-15 bertempat di Masjid Suri Seri Begawan Pengiran Anak Damit, Kampung Madang, hari ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. 
     
    Majlis berkenaan telah dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi MKM, ahli Youth Wing MKM, serta belia-belia daripada kalangan keluarga klien MKM yang berumur dari 12 hingga 20 tahun serta 10 orang sukarelawan dari Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan yang menyokong usaha murni MKM dalam memperkasakan kebajikan masyarakat selama ini.
     
    Solat Fardu Magrib dan Isyak dipimpin oleh imam masjid berkenaan. Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil bagi memperingati ahli-ahli dan klien MKM yang telah kembali ke rahmatullah.
     
    Seterusnya Doa Kesyukuran atas kejayaan dan pencapaian MKM telah dibacakan oleh Naib Yang Di-Pertua 3 MKM, Abang Masrur bin Abang Zainuddin.
     
    Majlis turut diserikan dengan tazkirah bertajuk Kesukarelawanan Ciri Keimanan yang disampaikan oleh penceramah bertauliah dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Sallahuddin bin Haji Aminnuddin. 
     
    Dalam tazkirah beliau antara lain menggariskan kepentingan kesukarelawanan dalam membangun masyarakat yang berdaya maju dan berlandaskan iman.
     
    Majlis itu bukan sahaja meraikan ulang tahun penubuhan MKM, tetapi juga memperkukuhkan semangat kesatuan dan kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.
     
    MKM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan sejak penubuhannya dan bertekad untuk terus memainkan peranan aktif dalam membantu golongan yang memerlukan dan memperkasakan kesejahteraan masyarakat di negara ini.
     
    Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    ATAS & BAWAH: Antara yang menghadiri majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda