Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-6 tahun, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah AMBD, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah; ahli-ahli Lembaga Pengarah AMBD yang lain serta pegawai dan kakitangan AMBD.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan seterusnya Solat Fardu Maghrib dan Solat Hajat berjemaah serta bacaan Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun ke-6 Penubuhan AMBD yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Anuar bin Haji Salim.
