Majlis khatam 75 kali bermula

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 75 Kali ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK), penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi seluruh negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 bagi 2021 telah bermula hari ini.

Majlis pelancaran ini bermula selepas sembahyang Fardu Asar berjemaah bertempat di masjid-masjid terpilih di setiap daerah. Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis pelancaran diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Bagi Daerah Belait, majlis telah diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Di Daerah Tutong pula, majlis telah diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Bukit Beruang dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Sementara itu, bagi Daerah Temburong, majlis diadakan di Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Rosli bin Haji Ibrahim.

Majlis pelancaran telah di- mulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu-tetamu kehormat dan seterusnya pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran bermula dari juz pertama serta diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menghadiri majlis tersebut. – Gambar oleh Rokiah Mahmud