Majlis khatam 76 kali bermula

Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-76 pada tahun ini, Majlis Pelancaran Khatam Al-Quran 76 kali telah diadakan bagi ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh negara, hari ini.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, juga selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76 bagi tahun 2022.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), timbalan-timbalan setiausaha tetap KHEDN dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Sementara itu, di Daerah Belait, majlis berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait yang telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) di KHEDN, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud selaku tetamu kehormat majlis.

Bagi Daerah Tutong, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menghadiri majlis tersebut yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, kelmarin.
Majlis pelancaran khatam Al-Quran 76 kali bagi Daerah Temburong berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh.
Antara yang terlibat dalam majlis khatam di Daerah Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Petadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Manakala itu, bagi Daerah Temburong pula, majlis diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

Majlis bermula selepas sembahyang Fardu Asar berjemaah dan dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran bermula dari juz pertama dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Peserta-peserta bagi pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran adalah terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, penuntut-penuntut sekolah dan institusi pengajian tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis berumur 13 tahun hingga 20 tahun yang terpilih.

Selain itu, ia juga disertai oleh peserta yang pernah mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah agama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.