Majlis khatam akhiri tadarus

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Majlis tadarus Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berakhir dengan majlis khatam Al-Quran, hari ini.

Majlis yang berlangsung di kediaman Yang Berhormat Pehin itu turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof, Timbalan Setiausaha Tetap, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, para pengarah, pegawai kanan dan kakitangan KHEU.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Berhormat Pehin diikuti dengan bacaan tadarus oleh para peserta yang mengambil bahagian.

Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan Takhtim Al-Quran dan Doa Khatam serta bacaan Tahlil dan Doa Arwah.

Sebelum bersungkai dan sembahyang fardu Maghrib berjemaah diadakan dan majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menghadiri majlis khatam Al-Quran, kelmarin.
Antara yang hadir pada majlis khatam berkenaan.