Oleh Nurdiyanah R. –
TEMBURONG, 13 MAC – Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis bagi Khatam Al-Quran 79 kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 Bagi Tahun 2025 telah diadakan secara serentak pada hari ini di keempat-empat buah daerah.
Majlis tersebut diadakan adalah sebagai menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah SWT di atas limpah rahmat dan nikmatNya jua menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan yang bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera, di samping memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda Sultan dilanjutkan usia, sihat walafiat serta mendapat taufik dan hidayah serta inayah daripada Allah SWT.
Sehubungan itu, di Daerah Brunei dan Muara, majlis telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Bandar Seri Begawan dan hadir selaku tetamu-tetamu kehormat bersama ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bin Haji Mohd Salleh.
Sementara itu, di Daerah Belait, majlis diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Di Daerah Tutong, majlis sedemikian telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; dan di Daerah Temburong, majlis diadakan Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar dan hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan seterusnya pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran bermula dari juz pertama oleh peserta-peserta yang terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis berumur 13 tahun hingga 20 tahun yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah agama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.