Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Majlis khatam Al-Quran hidupkan 10 malam terakhir Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya, Syahmi Hassan dan Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Dalam usaha merebut ganjaran pahala pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, pelbagai pihak di negara ini telah mengadakan majlis khatam Al-Quran dan acara keagamaan lainnya.

    Pihak Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Program Membaca Al-Quran Satu Minggu Satu Juzuk (1M1J) yang diteruskan dengan acara sungkai di masjid berkenaan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

    Tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi menggalakkan para peserta persendirian dan kumpulan yang terdiri daripada para warga emas, belia dan kanak-kanak serta penduduk Kampung Sungai Akar dan sekitarnya untuk membaca Al-Quran secara istiqamah.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan ketika menyertai majlis tersebut, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pembangunan
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menghadiri majlis khatam Al-Quran anjuran MRSB, baru-baru ini. – Gambar serahan MRSB
    Haji Mohd Hairolrani bergambar ramai dengan para jemaah yang diraikan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyerahkan sumbangan kepada imam masjid berkenaan.- Gambar serahan Kementerian Pembangunan
    Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan menyerahkan wakaf Mushaf UNISSA kepada Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan ITQSHHB. – Gambar serahan BIBD
    Pengiran Haji Jamra Weira bergambar ramai dengan para peserta khatam. – Gambar serahan Hengyi
    Antara peserta yang menyertai majlis tersebut yang diadakan di MRSB, baru-baru ini.- Gambar serahan MRSB

    Sementara itu, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang diselajurkan dengan tahlil dan berbuka puasa di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan, kelmarin.

    Hadir di majlis berkenaan, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan wakaf berupa satu unit komputer riba dan satu unit pencetak serta wang tunai $400 bagi pembelian ‘bird spikes’ untuk kegunaan masjid berkenaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan kepada imam masjid berkenaan, Haji Julazni bin Haji Zaini.

    Kemudian, majlis di teruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan sementara bacaan takhtim, Doa Khatam, tahlil dan Doa Kesyukuran diketuai oleh Haji Julazni.

    Turut hadir, Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya.

    Selain itu, Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) juga tidak ketinggalan menganjurkan majlis seumpamanya bagi menandakan selesainya pembacaan Al-Quran sempena bulan Ramadan yang mulia.

    Majlis tersebut telah dihadiri oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Jabatan Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra selaku tetamu kehormat.

    Turut hadir Ketua Kampung Pekan Muara dan Pelumpong, Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman, dan Pemangku Ketua Kampung Kampung Serasa, Awang Abdul Hamid bin Haji Zainin, serta pegawai-pegawai Damai Holdings, Jabatan Tenaga dan Autoriti Petroleum Brunei Darussalam.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipimpin oleh Haji Mohd Adam bin Haji Rosli.

    Majlis diikuti dengan bacaan takhtim diketuai oleh Pengiran Khairul Alimin bin Pengiran Haji Osman dan dikir diketuai oleh Awang Mohd Aminuddin bin Haji Yusof, dan bacaan Doa Khatam Al-Quran dan Doa Selamat dipimpin oleh Haji Mohd Adam.

    Sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran tahunannya bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan dan Pengerusi Badan Penasihat Syariah BIBD, Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yussof.

    Turut hadir ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri, ahli-ahli pengurusan BIBD serta pegawai dan kakitangan bank.

    Majlis khatam Al-Quran diteruskan dengan penyerahan wakaf Mushaf Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) BIBD kepada Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

    Wakaf Mushaf UNISSA merupakan inisiatif yang dimulakan pada tahun 2011 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menulis dengan tangan pembukaan ‘Bismillah’ untuk surah Al-Fatihah mushaf tersebut.

    Mushaf itu telah siap pada tahun 2020 dan pengagihan kepada penerima terdiri daripada institusi agama dan sekolah, dan mualaf bermula pada tahun 2022.

    Inisiatif mushaf menekankan kepentingan Al-Quran dan ajarannya dalam kehidupan umat Islam dan menggalakkan umat Islam di negara ini menyokong penyebaran Al-Quran di seluruh negara.

    Manakala, kira-kira 150 orang penduduk Kampung Luagan Dudok menghadiri seumpama-nya anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Haji Abdul Azim dan ahli Jawatankuasa Majlis Perunding Kampung Luagan Dudok, Tutong, baru-baru ini di masjid kampung berkenaan. 

    Hadir ke majlis itu ialah Pemangku Ketua Kampung Bukit Panggal dan Kampung Luagan Dudok, Haji Mohd Hairolrani bin Abdullah.

    Majlis Khatam Al-Quran dipimpin oleh Imam Masjid Haji Abdul Azim, Awang Kamaruddin bin Mohd Ali. 

    Ia adalah bagi menandakan berakhirnya pembacaan Al-Quran 30 juzuk yang diadakan di sepanjang malam bulan Ramadan pada tahun ini. 

    Majlis juga diisikan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah KUPU SB, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak yang antara lain menyentuh mengenai kelebihan beramal pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan yang  disampaikan oleh Haji Mohd Hairolrani.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...