Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Ahli Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar hari ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran selepas berakhirnya pembacaan Al-Quran 30 juzuk.
Majlis berkenaan turut di sertai oleh Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Pada majlis itu, bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh Awangku Hassan bin Pengiran Haji Ismail diikuti dengan bacaan surah-surah lazim dan seterusnya membaca takhtim dan Doa Khatam.
Di samping mengadakan beberapa aktiviti keagamaan, masjid berkenaan juga akan mengadakan Majlis Ibadah Korban sempena Hari Raya Haji nanti.
Sehubungan itu, AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar telah membuka penyertaan kepada penduduk kampung tersebut dan orang ramai yang berniat untuk menyertai Majlis Ibadah Korban bagi tahun 1442 Hijrah.
Setiausaha AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit menjelaskan mengenai ibadah korban itu bahawa borang penyertaan boleh didapati di masjid berkenaan dan pendaftarannya akan ditutup pada awal Julai depan.
Beliau menambah majlis berkenaan merupakan salah satu usaha takmir masjid untuk sama-sama meraih pahala yang berlipat ganda dan mengambil hikmah daripadanya terutama dalam mengeratkan lagi keharmonian para jemaah dan orang ramai di samping mengekalkan amalan gotong-royong pada majlis itu nanti.


































