Majlis khatam Al-Quran meriahkan hari kebangsaan

Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi, Daniel Lim, Izah Azahari & Hakim Hayat
Gambar Muiz Matdani, Daniel Lim, Izah Azahari & Rahwani Zahari

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran 36 Kali yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah, hari ini yang melibatkan lebih 2,000 orang keseluruhannya.

Majlis berkenaan merupakan salah satu inisiatif Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak yang melibatkan lebih 1,200 orang peserta.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di KKBS serta para pegawai kanan KKBS.

Lebih 2,000 orang kelmarin menyertai Majlis Khatam Al-Quran 36 kali sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan secara serentak di keempat-empat daerah. Majlis merupakan inisiatif Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan ke-36 itu dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di ibu negara. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan memulakan bacaan Surah Al-Fatihah.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Pemerintah ABDB hadir pada Majlis Khatam Al-Quran sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.
Haji Abdul Manap bersama peserta lain pada majlis khatam yang diadakan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal.
Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua memberikan bunga telur kepada peserta majlis khatam.
Haji Azhar hadir bersama peserta lain pada majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Belia-belia yang menghadiri Majlis Khatam Al-Quran 36 kali bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.

Di Daerah Belait, seramai 180 orang peserta terlibat dalam majlis yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya.

Di Daerah Tutong, majlis yang berlangsung di Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal telah melibatkan penyertaan seramai 320 orang peserta dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

Sementara itu, di Daerah Temburong, majlis telah diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar dengan melibatkan seramai 276 orang peserta dihadiri tetamu kehormat majlis, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali.

Para peserta yang terlibat terdiri daripada ahli-ahli persatuan dan pergerakan belia, pelatih Program Khidmat Bakti Negara, mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, penuntut-penuntut dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), sekolah menengah dan sekolah agama, kelab-kelab belia, belia-belia masjid, majlis perundingan kampung dan mukim, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta belia-belia perseorangan.

Antara lain tujuan majlis berkenaan adalah untuk menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Di samping itu juga untuk mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman dan kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia dan masyarakat serta untuk menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

Majlis seumpamanya diharap dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan yang sudah setentunya berupaya menjadi benteng buat generasi belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang juga sebagai pelapis dan penyambung kepimpinan pada masa hadapan.

Sementara itu, dalam acara berasingan, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Surau Ad-Difa’ itu ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan setiausaha tetap, para pengarah, komandan; pegawai kanan dan anggota ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.

Di samping menyemarakkan lagi sambutan hari kebangsaan, majlis tersebut juga diadakan untuk menggalakkan dan melestarikan amalan pembacaan Al-Quran bagi warga Islam di Kementerian Pertahanan dan ABDB.