Oleh Samli
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Untuk memeriahkan lagi bulan suci Ramadan, Majlis Perundingan Kampung Masjid Lama dan penduduk Kampung Serasa dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali, Pekan Muara telah mengadakan majlis khatam Al-Quran baru-baru ini selepas menunaikan sembahyang Fardu Asar bertempat masjid berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat dalam majlis tersebut dan juga mengetuai bacaan Surah Al-Fatihah ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.
Kemudian diikuti bacaan ayat-ayat lazim yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Masjid Setia Ali, Pekan Muara juga selaku Imam Masjid Setia Ali, Awang Nasehin bin Yahya.
Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Imam Masjid Setia Ali, Pekan Muara, Awang Rosli bin Haji Ladis.
Majlis diakhiri dengan Dikir Marhaban dan Doa Selamat dan diselajurkan dengan acara sungkai dan sembahyang Fardu Maghrib.
