Sunday, June 4, 2023
27 C
Brunei

    -

    Majlis khatam Al-Quran semarakkan bulan Syawal

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar telah menyerikan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan Majlis Khatam Al-Quran sekali gus menyemarakkan bulan Syawal ini dengan aktiviti keagamaan.

    Selain menyatakan rasa kesyukuran selepas selesai bacaan 30 juzuk sepanjang bertadarus setiap hari selepas sembahyang Fardu Subuh berjemaah, majlis itu juga dihasratkan dapat memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan AJK dan jemaah tadarus di masjid berkenaan.

    Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud sebelum diikuti dengan bacaan surah-surah lazim bermula dari Surah Ad-Dhuha sehingga An-Nas secara beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin.

    Ketua Kampung Sungai Besar, Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit yang juga Setiausaha AJK Takmir Masjid Kampung Sungai Besar menjelaskan, majlis dua dalam satu itu lebih meriah kerana mensyukuri istiqamah membaca Al-Quran sekali gus berpeluang berkumpul meraikan sambutan hari kemenangan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri.

    “Ia juga merupakan keberkatan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk dinikmati supaya hubungan harmoni dan kekeluargaan dapat dikekalkan dan dirapatkan lagi dalam kalangan peserta dan jemaah di masjid ini,” tambah beliau.

    Turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisyam bin Haji Masri dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 4, Pengiran Haji Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

    Haji Amir Hisyam bersama antara yang hadir pada majlis khatam Al-Quran tersebut.
    Haji Amir Hisyam bergambar ramai bersama antara yang hadir pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Kerja menyelamat kemalangan kereta api korbankan lebih 300 orang ditamatkan

    BALASORE, 4 JUN - Selepas kerja menyelamat selesai, pihak berkuasa mula membersihkan serpihan dua kereta api penumpang yang tergelincir di timur India, membunuh lebih...
    - Advertisment -