Majlis khatam rai 22 penghuni KRK

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Seramai 22 orang penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) diraikan pada majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; para peserta khatam dan penduduk kampung.

Majlis anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) KKBS itu adalah sebahagian daripada usaha menyemarakkan Hari Kebangsaan.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengetuai majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti bacaan khatam Al-Quran, takhtim dan Doa Khatam bersama 18 peserta lelaki dan empat peserta perempuan KRK serta jemaah masjid.

Ia turut diserikan dengan Dikir Marhaban dan penyampaian sijil penyertaan serta pengagihan bunga telur oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada peserta khatam.

Selain meraikan Hari Kebangsaan, majlis juga diadakan sebagai menggalakkan penghuni KRK memantapkan mutu bacaan Al-Quran dan mendidik mereka untuk sentiasa membaca, mencintai dan mendengar Al-Quran.