Majlis khatam rai graduan UNISSA

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Bersempena dengan Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-8, seramai 151 orang bakal graduan UNISSA petang tadi telah pun diraikan di Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran yang berlangsung di Dewan Auditorium UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya memimpin bacaan Surah Al-Fatihah ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Hamzah bin Sulaiman.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Timbalan Setiausaha Tetap, Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah, ketua-ketua pengarah pendidikan dan jemputan khas yang lainnya serta para ibu bapa dan penjaga mereka.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan bacaan surah bermula daripada Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas oleh para peserta khatam, disusuli dengan bacaan Takhtim dan diakhiri dengan bacaan Doa Khatam yang dipimpin oleh graduan Program Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul), Awang Adee Aiman bin Haji Muhidin.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah semasa memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.
Antara bakal graduan UNISSA yang menyertai majlis khatam Al-Quran, kelmarin.

Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian sijil khatam Al-Quran kepada bakal graduan diiringi dengan persembahan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran bersempena bakal graduan menamatkan pengajian di UNISSA yang dibacakan oleh graduan daripada Sarjana Muda Bahasa Arab, Awang Muhammad Arif bin Haji Johari.

Majlis tersebut merupakan salah satu acara tradisi tahunan yang diungkayahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Penyelaras Aktiviti Keagamaan bagi menyemarakkan lagi Sambutan Hafl Al-Takharruj UNISSA, yang bertujuan untuk menzahirkan rasa kesyukuran setelah mengikuti pengajian di UNISSA di samping menjunjung hasrat Baginda Sultan untuk menjadikan negara ini sebuah negara zikir, di samping menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai budaya di kalangan mahasiswa dan mahasiswi agar menjadi amalan sepanjang hayat.