Majlis khatam rai Hari jururawat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Sempena Hari Jururawat dan Bidang Antarabangsa 2019 di Dewan Al-Afiah Kementerian Kesihatan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang dianjurkan melalui Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, para pengarah, para pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Pada majlis berkenaan, seramai 120 orang jururawat dari Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan menyertai majlis khatam itu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan disusuli dengan bacaan Takthim beramai-ramai.

Majlis diserikan dengan Dikir Marhaban sempena meraikan pengislaman empat orang saudara baharu warga Perkhidmatan Kejururawatan sebelum penyampaian cenderahati kepada mereka dan penyampaian derma kepada 33 orang anak-anak yatim yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Majlis diakhiri dengan Doa Khas dan Doa Selamat Sempena Hari Jururawat dan Bidan Antarabangsa 2019 oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Haji Nor Asilin bin Haji Putting.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham memimpin bacaan Surah Al-Fatihah pada majlis tersebut kelmarin.