Majlis khatam rebut kerahmatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Sebagai tanda kesyukuran selepas menamatkan pembacaan 30 juzuk Al-Quran, ahli jemaah tadarus Al-Quran Masjid Kampung Sungai Besar hari ini mengadakan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan.

Ketua setiausaha ahli takmir masjid berkenaan, Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi rahmat kepada semua ahli jemaah tadarus meneruskan usaha mentakmirkan masjid terutama dengan membaca Al-Quran setiap hari.

“Dalam pada itu, kita juga masih mengikuti prosedur dan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib dalam menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan di dalam masjid ini,” jelasnya.

Beliau yakin dengan keberkatan membaca Al-Quran, selain meraih pahala yang berlipat ganda, ia juga sebagai doa untuk sama-sama memohon kepada Allah SWT untuk mengangkat atau menghapuskan penyakit COVID-19 dari negara ini.

“Majlis khatam Al-Quran ini juga mempunyai keberkatan dan kerahmatan yang sangat istimewa yang diperolehi di dunia dan akhirat kelak,” ujarnya.

Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan bacaan ayat-ayat lazim beramai-ramai, bermula daripada Surah Ad-Duha sehingga Surah An-Nas yang dikepalai oleh bilal Awang Abdul Wafi bin Ismail yang juga membaca tahktim dan Doa Khatam.

Ahli jemaah tadarus Al-Quran Masjid Kampung Sungai Besar pada majlis khatam Al-Quran, kelmarin.