BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, pegawai daripada Program Eksekutif Muda (YEP) telah mengadakan majlis khatam Al-Quran di Surau Al-Shafi’I, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin.
Hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Hajah Noor Airah binti Abdul Rahman dan para pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam dan Institut Perkhidmatan Awam.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat lazim diikuti dengan bacaan Tahtim dan Dikir Asyrakal.
Bacaan Khatam Al-Quran diketuai oleh Awang Mohammad Aliff bin Haji Awang Madial, wakil YEP Kohot Pertama.
Seterusnya, bacaan Tahtim dibacakan oleh Awang Muhammad Adlan Aziz bin Haji Yussop, wakil YEP Kohot Kedua.


Majlis turut diserikan dengan laungan Dikir yang diketuai oleh Awangku Haji Mohammad Nadhir A’qil bin Pengiran Mohd Anuar, wakil daripada YEP Kohot Ketiga
Majlis diselajurkan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Dr. Mohammad Hilmy Baihaqy bin Awang Yussof daripada YEP Kohot Kedua dengan tajuk ‘Pentingnya Solat’ dan diakhiri dengan acara berbuka puasa beramai-ramai dan diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah.
Antara tujuan majlis khatam Al-Quran berkenaan adalah untuk mendapatkan ganjaran pahala berlipat ganda serta keberkatan dari Allah S.W.T di samping untuk mengeratkan hubungan silaturahim yang sedia ada antara para pegawai YEP ini.