Majlis khatam semarak Ramadan

Oleh Ak Zaki Kasharan & Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, majlis-majlis keagamaan terus giat dilaksanakan oleh kementerian-kementerian kerajaan dan juga pihak swasta.

Kementerian Kesihatan telah mengadakan majlis bertadarus Al-Quran di Masjid Kampung Pintu Malim, Jalan Kota Batu, petang tadi.

Hadir mengetuai rombongan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Majlis dimulakan dengan sembahyang fardu Asar berjemaah, diikuti dengan tadarus Al- Quran yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan seterusnya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir-gilir.

Acara kemudian diteruskan dengan penyerahan wakaf kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Pintu Malim yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyerahkan wakaf kepada pegawai hal ehwal Masjid Kampung Pintu Malim pada majlis bertadarus di Masjid Kampung Pintu Malim, Jalan Kota Batu, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bersama tetamu lain pada majlis Khatam Al-Quran, Bertahlil dan Berbuka Puasa di Masjid Kampung Bengkurong kelmarin.- Gambar serahan Kementerian Pembangunan
Dato Seri Paduka Haji Matsatejo semasa menghadiri majlis khatam anjuran Hengyi di Masjid Setia Ali, Muara.
Antara yang hadir pada majlis yang berlangsung di Masjid Kampung Pintu Malim, Jalan Kota Batu.

Barang-barang yang diwakafkan adalah hand held leaf blower dan sebuah komputer bagi kegunaan pejabat masjid berkenaan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, pengarah-pengarah, berserta pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan majlis khatam Al-Quran, bertahlil dan berbuka puasa di Masjid Kampung Bengkurong hari ini.

Hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim beramai-ramai dan diteruskan dengan bacaan Takhtim dan Doa Khatam.

Majlis juga diisikan dengan bacaan tahlil, berbuka puasa dan seterusnya solat fardu Maghrib berjemaah.

Turut mengadakan majlis seumpamanya adalah Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) yang berlangsung di Masjid Setia Ali, Muara.

Hadir dalam majlis sebagai tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Seramai 40 kakitangan Hengyi telah mengambil bahagian dalam majlis khatam Al-Quran yang dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan ayat-ayat Al-Quran yang dipimpin oleh Awang Hamirul Hashim bin Haji Hassan, diikuti dengan bacaan Takhtim yang diketuai Awangku Khairul Alimin bin Pengiran Haji Osman.

Majlis berakhir dengan Dikir Marhaban dan Doa Khatam yang dipimpin Awang Mohammad Aminuddin bin Haji Yusof dan Awang Mohammad Fazli Haji Zulkifli.