Majlis khatam sempena hari Keputeraan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) peringkat Bolkiah Garison telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 bertempat di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.

Hadir pada majlis tersebut ialahMenteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; setiausaha tetap, Kementerian Pertahanan dan pegawai-pegawai serta anggota-anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, bacaan surah-surah lazim, doa takhtim dan tahlil dan diikuti dengan Dikir Marhaban serta penyampaian cenderahati kepada peserta-peserta khatam. Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan solat Sunat Duha dan laungan selawat.

Bacaan khatam ini adalah pesambah istimewa Kementerian Pertahanan dan ABDB kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di samping menzahirkan rasa penuh kesyukuran dan doa memohon dari Allah SWT semoga Baginda akan terus dilanjutkan usia dan kesihatan serta akan kekal karar memerintah negara.

Majlis serupa juga akan diadakan di seluruh surau garison, perkhemahan, dan pangkalan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menghadiri majlis tersebut.