Majlis khatam sempena Hari Keputeraan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Kesyukuran di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para pengarah, komandan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin diikuti dengan bacaan khatam Al-Quran, Takhtim, Doa Khatam dan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Imam Surau Ad-Difa, Awang Shuib bin Abdullah. Dalam pada itu, majlis sama juga akan diadakan di semua perkhemahan ABDB.

Majlis berkenaan telah diadakan selaras dengan garis pandu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

ATAS & BAWAH: Hadir di majlis tersebut adalah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan, setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, komandan-komandan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB.