Majlis khatam sempena Hari Warga Emas Sedunia

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 6 OGOS – Persatuan Warga Emas Daerah Belait (PWEDB) hari ini menganjurkan majlis khatam Al-Quran sempena memperingati Hari Warga Emas Sedunia yang diraikan pada setiap 21 Ogos pada majlis yang berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Hadir sebagai tetamu kehormat ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail. Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Liang, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin; Presiden PWEDB, Haji Mohd Shah bin Haji Ahmad dan ahli-ahli PWEDB.

Pengerusi majlis, Haji Maidin dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu menghargai sokongan jemputan dan ahli meraikan perkembangan persatuan dan menjadi inspirasi bagi ahli warga emasnya untuk menyumbang kembali kepada komuniti.

Majlis khatam bukan sahaja acara sambutan tahunan Hari Warga Emas Sedunia, malah ia dihasratkan dapat menjalinkan hubungan dengan ahli dan masyarakat sekitarnya, kata Haji Maidin.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan beramai-ramai ayat-ayat suci Al-Quran dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Tetamu kehormat bersama warga persatuan membaca Al-Quran pada majlis itu.