Majlis khatam sempena konvokesyen UTB

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Seramai 71 bakal graduan Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena Konvokesyen UTB 2020 yang berlangsung di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD), Tungku Link, Gadong, hari ini.

Mereka terdiri daripada 28 lelaki dan 43 perempuan yang akan menerima sijil mereka dalam jurusan Master Degree dan Degree pada konvokesyen tahun ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan, pensyarah, kakitangan, ibu bapa dan penjaga peserta khatam yang diraikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Penolong Naib Canselor UTB (Industri dan Perkhidmatan), Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Masad oleh peserta khatam yang diketuai oleh Awang Muhammad Muizzuddin Asyur bin Awang Mat Japar, graduan dalam bidang Sains Multimedia Kreatif.

Sementara bacaan takhtim dan Doa Khatam dibacakan oleh graduan dari jurusan Business in Finance and Risk Management.

Majlis seterusnya menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan sijil dan cenderahati kepada peserta perempuan dan peserta lelaki disampaikan oleh Haji Ady Syarmin.

Doa Selamat bagi memberkati majlis tersebut dibacakan oleh imam masjid berkenaan, Awang Mohammad bin Bagol.

Profesor Dr Hajah Zohrah semasa menyampaikan sijil dan cenderahati kepada salah seorang peserta khatam. – Gambar serahan UTB