Majlis khatam sempena puja usia

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Seramai 280 orang ahli persatuan-persatuan wanita yang bergabung dalam Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD) telah menyertai dalam Majlis Khatam Al-Quran sempena Ulang Tahun Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas itu dikendalikan oleh MWNBD bagi sama-sama memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda Raja Isteri sentiasa dalam lindungan Allah, dilanjutkan usia, sihat walafiat serta sentiasa dikurniakan taufik dan hidayatNya.

Turut menyertai majlis itu ialah Yang Di-Pertua MWNBD, Datin Hajah Dayang Siti Hajar binti POKSS DP Haji Awang Mohd Yusof dan Naib Yang Di-Pertua I, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat.

Hadir sama ialah Naib Yang Di-Pertua II, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dan Naib Yang Di-Pertua III, Dayang Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah serta ahli-ahli lembaga tadbir MWNBD, yang di-pertua, ketua pesuruhjaya dan wakil tetap 13 buah persatuan yang bergabung dalam MWNBD.

Antara lain tujuan majlis adalah untuk menzahirkan rasa kesyukuran ahli-ahli MWNBD atas limpah kurnia keprihatinan Baginda Raja Isteri yang berterusan terhadap kaum wanita di negara ini dan kepada ahli-ahli MWNBD.

Yang Di-Pertua MWNBD, Naib Yang Di-Pertua I dan Naib Yang Di-Pertua II, antara yang menyertai dalam majlis berkenaan.
Antara yang hadir menyertai dalam pada Majlis Khatam Al-Quran sempena Ulang Tahun Puja Usia KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Pada majlis itu, bacaan surah beramai-ramai daripada Surah Adh-Dhuha hingga Surah Al-Masad dan bacaan Takhtim dipimpin oleh Hajah Fatimah binti Haji Ahmad daripada Persatuan Pertiwi, manakala itu, Doa Khatam Al-Quran dibacakan oleh Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar daripada Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB).

Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Dayang Mardiana binti Haji Reffin daripada Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL) sebelum majlis diserikan dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Persatuan Kebajikan Perempuan Daerah Belait (PKP).

Persatuan-persatuan yang bergabung dalam MWNBD terdiri daripada Persatuan Pertiwi, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), Badan Kabajikan Isteri Pegawai-Pegawai Kerajaan, Pegawai dan kakitangan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI), PKP, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD), PGGMB, Persatuan Kebajikan Gabungan Wanita Daerah Tutong (PERGANITA), Badan Kebajikan Wanita Perumahan Lambak Kanan (BAKANITA), Persatuan Siswazah Wanita (PSW), PERBEKAL, Persatuan Wanita Kampung Junjongan (PEWAJA), Persatuan Nurul Islam (PNI) dan Badan Kebajikan Isteri-isteri Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (BAKTI).