Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-3 diadakan secara maya

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Kementerian Pendidikan melalui Unit Kepimpinan Sekolah, Jabatan Pengurusan Pendidik mengadakan Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-3 secara maya selama tiga hari bermula hari ini sehingga 25 November.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, konvensyen berkenaan merupakan kesinambungan daripada acara yang sama yang telah diadakan pada Februari dan Jun lalu dengan membawa tema Pemimpin Berkualiti, Pendidikan Berkualiti dan memberi fokus kepada kreativiti dan inovasi sebagai sub tema. Majlis dimulakan dengan ucapan dari

Pemangku Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah selaku pengerusi Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah 2021 dan diikuti dengan kata-kata aluan daripada tetamu kehormat sebelum pembukaan rasmi majlis konvensyen.

Acara turut diteruskan dengan ceramah bertajuk Kepimpinan di Dalam Islam yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Sammali bin Haji Adam.

Antara yang hadir pada Majlis Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-3 secara maya itu. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan

Kemudian majlis turut menyaksikan pembentangan hasil sesi dialog ketua-ketua jabatan Kementerian Pendidikan bersama pemimpin-pemimpin sekolah yang dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Di samping itu, pada sesi pertama konvensyen itu turut menyaksikan perkongsian mengenai Blended Learning Models yang telah diberigakan oleh Ketua Pusat Teknologi Pendidikan, Awang Shahrizal bin Haji Emran.

Manakala itu, perisian mengenai Digital Citizenship in Education yang menyentuh tentang kewarganegaraan digital dalam pendidikan dan isu berkaitan risiko dan ancaman siber di sekolah pula telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Perkembangan Kurikulum, Haji Ali Hamdani bin Haji Mohd Diah.

Sesi berkenaan diteruskan dengan bengkel mengenai pembangunan Panduan Kewarganegaraan Digital Sekolah melalui penyertaan pemimpin-pemimpin sekolah relevan dengan konteks sekolah di Negara Brunei Darussalam yang telah diketuai oleh Haji Ali Sofian bin Haji Thani dari Jabatan Perkembangan Kurikulum.

Kenyataan menyatakan, dengan adanya pengetahuan mengenai kaedah Blended Learning Models, para pemimpin sekolah diharap akan lebih mengetahui kepentingannya yang ketara semasa gelombang kedua pandemik COVID-19 yang melanda tanah air, di samping berusaha menyelaraskan Literasi Digital dengan Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan dan pembangunan Panduan Kewarganegaraan Digital untuk Sekolah dalam mendukung visi dan misi Kementerian Pendidikan.